sejarah penubuhan ppki smk raja muda musa
Program Pendidikan Khas Integrasi di SMK Raja Muda Musa ditubuhkan pada 1 Februari 2011. Program ini bermula dengan hanya 2 orang tenaga pengajar dan 4 orang pelajar Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Penubuhan program ini adalah bagi memenuhi tuntutan pelajar-pelajar berkeperluan khas yang tinggal di kawasan Bestari Jaya. Empat pelajar tersebut merupakan bekas murid PPKI SMK Pengkalan Permatang yang mengalami masalah pengangkutan dan masalah jarak yang jauh daripada rumah ke sekolah.
Pada bulan Ogos 2011 pelajar mula bertambah menjadi 8 orang. Terdapat seorang pelajar perempuan yang mengalami masalah penglihatan telah mendaftar di PPKI pada tahun tersebut. Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada pelbagai ketidakupayaan seperti Bermasalah Pembelajaran (BP), Sindrom Down (SD), Bermasalah Penglihatan (BL) dan Autisme.
Pada tahun 2012, bilangan pelajar semakin bertambah kepada 22 orang. Terdapat 2 orang pelajar bermasalah penglihatan selebihnya mengalami masalah pembelajaran. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India. Pada tahun yang sama, PPKI SMKRMM juga telah menerima tambahan seorang lagi guru baharu dan seorang Pembantu Pengurusan Murid (PPM).
Pada tahun 2013, bilangan tenaga pengajar telah
mencecah sehingga 5 orang dan pelbagai
pembaharuan bagi menambahbaik PPKI masih
dijalankan.
Dasawarsa ini, di bawah kepimpinan seorang Penolong Kanan Pendidikan Khas, 8 orang guru serta 2 orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM), Program Pendidikan Khas Integrasi PPKI SMKRMM terus mengorak langkah, semakin ceria dan berdaya saing menjadikan PPKI SMKRMM bertambah baik dari segi Infrastruktur dan kemenjadian murid. Bilangan murid yang terdiri daripada pelbagai ketidakupayaan semakin bertambah saban tahun.
Program ini juga semakin dikenali oleh masyarakat setempat. Diharap dengan adanya program ini memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai hak kesamarataan pendidikan bagi orang kurang upaya seiring dengan matlamat PPKI SMK Raja Muda Musa untuk melahirkan pelajar Pendidikan Khas yang berkemahiran, berketrampilan dan menyiapkan para pelajar agar mampu hidup berdikari dan berpeluang meneroka peluang pekerjaan yang lebih meluas untuk masa depan mereka.